Lupus Al-Quran | Lupus Ikut Syariah - Berita Harian | Mengikut Garis Panduan Majlis Fatwa Kebangsaan | Percetakan Saufi


LUPUS IKUT SYARIAH
Mengikut Garis Panduan Majlis Fatwa Kebangsaan




DIRIWAYATKAN, seorang sahabat menjumpai al-Quran, menyapukan wangian padanya dan menyimpan di tempat tinggi. Bagi sahabat itu, Allah janjikan syurga. Begitu juga Saidina Umar yang terjumpa keratan al-Quran lalu diambil dan diciumnya, Allah memberikan pahala. Inilah kebesaran untuk mereka yang menjaga serta mengagungkan kalimah Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya, Muhammad SAW, menjadi petunjuk kepada umat sekalian alam, tidak kira bagaimana cara dilakukan.


Malangnya, tidak ramai yang tahu cara tepat untuk melupuskan kita suci ini. Kejahilan ramai inilah yang turut mendorong sebuah syarikat tempatan iaitu penerbitan Al-Quran Mushaf Uthmani, Percetakan Saufi menawarkan khidmat pelupusan al-Quran menerusi

Pusat Pelupusan Ayat-Ayat Suci Al-Quran Percetakan Saufi di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor.



Foto


Malah, pengalaman Pengerusi Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, menyaksikan sendiri naskhah al-Quran dilonggokkan bersama buku lain di pusat pengumpulan barangan kitar semula miliki bukan Islam, menjadi antara titik tolak kewujudan syarikat itu pada 2008.

“Terkejut dan sedih apabila melihat al-Quran dibiarkan bersepah di pusat kitar semula dan ini menyedarkan saya mungkin ramai tidak tahu bagaimana hendak melupuskan al-Quran. Orang dulu akan bakar tetapi timbul juga persoalan selepas dibakar nak buat macam mana pula?


“Jika ditanam, perlu dipastikan tempat itu tidak di langkah atau abu hendaklah ditaburkan ke laut. Itu yang terlintas di hati saya untuk membantu mereka yang ingin melupuskan al-Quran terutama yang sudah lama dan koyak.


“Selain itu, saya ingin pastikan keagungan ayat Allah dipelihara dan cara saya ialah menyediakan kemudahan mengumpul dan membakar al-Quran supaya umat Islam tidak lagi membiarkan ayat al-Quran begitu saja,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.



Menurut Rahmat, pihaknya sentiasa mengalu-alukan bantuan orang ramai untuk memastikan al-Quran yang sudah buruk, tidak berkulit dan terkoyak tidak diaibkan dengan dibiarkan begitu saja.

Sebagai usaha menyelamatkan serta memelihara kesucian kalimah Allah, beliau dan keluarga memulakan usaha mengumpul al-Quran, buku teks, Yasin, risalah, akhbar mengandungi surah dan cebisan al-Quran. Hatta, kad jemputan kahwin yang ada kalimah Allah turut dikumpulkan.

Katanya, bahan terkumpul itu kini dibakar secara berkala menggunakan mesin insinerator dan abunya sama ada ditanam dalam telaga khas yang digali di kawasan pengumpulan dan pelupusan atau dihanyutkan di laut di Negeri Sembilan.

Mesin pembakar khas untuk tujuan melupuskan barangan bercetak ayat Al-Quran mengikut prosedur dan syariat Islam iaitu secara pembakaran selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992. 

Rahmat berkata, Percetakan Saufi adalah syarikat percetakan yang telah diberi lesen oleh Bahagian Kawalan Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekal, mengganti dan mengambil Al-Quran lama bukan Mushaf Uthmani bagi tujuan pelupusan.

Syarikatnya juga mendapat kebenaran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran untuk membekal dan memulihara ayat suci di sekolah kebangsaan dan sekolah agama di seluruh negara.Syarikat itu turut mengumpul dan melupuskan Al-Quran lama yang disalah cetak dan tidak mendapat kelulusan Lajnah Tashih Al-Quran KDN terutama yang dicetak sebelum 1990, mengandungi perkataan salah dan jika dibaca membawa maksud salah serta mendatangkan dosa.

Rahmat berkata, selepas usaha Percetakan Saufi itu disiarkan Berita Harian pada Mac lalu, sambutan orang ramai untuk menghantar pelbagai barangan bercetak ayat al-Quran semakin hebat dan menggalakkan.

Melalui kesungguhan itu katanya, tempat pengumpulan al-Quran di Batu 10 Jalan Cheras, Kajang, semakin hari dipenuhi al-Quran dalam pelbagai rupa, buku teks, kertas kerja, malah plet mencetak juga turut dihantar untuk dilupuskan menggunakan bahan kimia.

“Kami bersedia menerima jumlah yang lebih banyak dan saya berbangga jika ada yang ingin mengikut jejak langkah Percetakan Saufi memberi khidmat sukarela ini. Ini usaha memelihara ayat suci al-Quran dan saya hanya memulakan dulu. 
“Jika ada pihak lain ingin membantu, itu lebih baik kerana permintaan untuk perkhidmatan ini semakin meluas. Sudah ada permintaan supaya diadakan di wilayah selatan serta utara,” katanya yang sedang membangunkan mesin insinerator kedua bagi tujuan itu dan dijangka siap Disember ini. 

Selain pengumpulan dan pelupusan al-Quran, Percetakan Saufi menganjurkan Program Al-Quran Wakaf Malaysia bagi menggalakkan umat Islam bersedekah melalui amalan wakaf untuk diedarkan kepada pihak memerlukan. Melalui skim wakaf itu, individu atau syarikat boleh menyumbangkan RM30 untuk naskah Al-Quran Mushaf Uthmani yang kemudian diedarkan ke masjid, surau, rumah anak yatim, rumah kebajikan, sekolah dan maahad tahfiz. Mereka yang ingin menyertai Skim Al-Quran Wakaf Malaysia boleh menghubungi syarikat itu di nombor 03-26933049/03-26915184.

INSINERATOR
 

Usaha syarikat itu turut menarik minat tenaga pengajar di Masjidil Haram di Makkah, Dr Syeikh Md Idrees Al Mashrafe, yang menyifatkan ia harus disokong semua pihak terutama umat Islam negara ini.

11

Katanya, menjadi tanggungjawab umat Islam memastikan kesucian serta kesejahteraan al-Quran yang mengandungi kalam Allah itu sentiasa terpelihara dan jika sudah rosak, hendaklah dilupuskan mengikut tertib.“Inisiatif Percetakan Saufi menghasilkan mesin insinerator khas untuk membakar al-Quran yang sudah tidak boleh digunakan atau tersalah cetak sewajarnya mendapat sokongan kerana usaha ini bukan mudah, apatah lagi ia dilakukan secara sukarela. 

“Saya berharap kerajaan dan orang kaya membantu usaha ini kerana tanggungjawab umat Islam memelihara kesucian mukjizat Nabi Muhammad,” katanya yang mengunjungi pusat pelupusan berkenaan.

17