Memelihara Kesucian Ayat Al-Quran
Ribuan Terima Kasih diucapkan kepada akhbar kosmo keluaran 18 Oktober 2010 bahagian RENCANA, memaparkan kaedah yang sempurna penuh dengan tertib cara melupuskan al-Quran lama serta bahan cetakan yang tertera kalimah Allah. Semenjak perkhidmatan ini di siarkan di akhbar dan di kaca televisyen pada pertengahan september, sambutan orang islam, semakin memberangsangkan. Lihat laporan Kosmo! dibawah.....
KAEDAH MELUPUSKAN AL-QURAN
KOSMO! ONLINE
EMPAT tahun lalu, Rahmat Mahdan, 52, sedih apabila melihat taburan kertas yang tertera ayat-ayat suci al-Quran di sebuah pusat pengumpulan barang kitar semula.Perasaan sayu itu lantas membuatkannya terdetik untuk melakukan sesuatu.Demi mengelakkan keadaan tersebut daripada terus berulang, dia berazam untuk mendapatkan ruang sempurna bagi mengurus dan menyelamatkan wahyu Allah itu daripada dibiarkan sebegitu. Nalurinya ternyata gusar apabila memikirkan tentang sikap tidak peduli segelintir umat Islam mengenai perkara itu. Memang adakalanya, ayat- ayat al-Quran yang sudah terkoyak daripada kitabnya atau daripada petikan bahan bacaan ilmiah lain tidak lagi boleh disimpan atau dimanfaatkan. Namun, membuang dengan sesuka hati bukanlah jawapannya.
“Masyarakat pada hari ini mudah menyerahkan segala urusan kitar semula menggunakan khidmat pengumpul surat khabar lama yang selalu datang ke kawasan kediaman dengan lori.
“Lebih menyayat hati apabila bahan bacaan yang hendak dilupus itu terkandung ayat-ayat suci al-Quran.
“Adakah mereka terfikir tentang ‘nasib’ kesucian wahyu Allah itu?” keluh pemilik dan peneraju syarikat Percetakan Saufi Sdn. Bhd. tersebut.
Dia bagaimanapun tidak menafikan faktor kesibukan urusan kerja menjadikan segolongan orang terlupa akan hal itu. Rahmat mula berfikir panjang untuk berbakti atas matlamat melindungi kandungan al-Quran dan hadis Rasulullah. Sebagai langkah awal, Rahmat mengumpulkan pandangan daripada beberapa orang tokoh agama seperti Imam Satu masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Moghni Israri dan Pengetua Darul Quran Selangor, Ustaz Azahari Othman. Malah, kunjungan tenaga pengajar dari Masjidil Haram, Mekah, Dr. Syeikh Md. Idrees Al-Mashrafe ke Malaysia juga menjadi peluang buat Rahmat merujuk kepadanya mengenai hal tersebut. Selanjutnya, Rahmat mengambil inisiatif dengan melihat sendiri cara terbaik pelupusan al-Quran di beberapa buah negara terpilih.
“Tiga tahun lalu saya berkesempatan ke beberapa lokasi seperti Hanoi, Singapura, Indonesia dan Syria untuk menimba pengalaman kerana saya sangat berhajat untuk membuka tapak khas bagi pengurusan pelupusan ayat-ayat suci.
Memelihara dan melupus
“Ayat suci al-Quran ini tidak akan dicampurkan dengan sebarang bahan bacaan lain. Saya mahu memeliharanya sebaik mungkin dan melupuskannya dengan cara betul,” terangnya Rahmat juga memberitahu, kebiasaannya sesetengah orang Islam memilih untuk membakar dan menanam ayat-ayat suci itu. Bagaimanapun, jika diamati, helaian kertas yang terdapat ayat al-Quran tidak mampu hancur sepenuhnya apabila ia dibakar dengan cara biasa. Malah ketika dibakar, serpihan itu mudah berterbangan dengan kesan petikan ayat yang masih tertera. Jadi, proses itu tidak mampu melupuskannya dengan sempurna. “Ramai yang pilih untuk membuat cara begitu, kemudian ditanam. Tetapi jika ia ditanam di kawasan yang cenderung menjadi laluan orang ramai, ia tetap meragukan kerana kalimah al-Quran tidak boleh dilangkah,” jelasnya yang antara lain mengingatkan orang ramai tentang ‘nasib’ potongan ayat al-Quran yang turut terdapat dalam sesetengah kad jemputan perkahwinan.
http://ppasalquran.blogspot.com