Yayasan Warisan Ummah Ikhlas | Sinar Harian

"PERLIHARA KESUCIAN AL-QURAN"

KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF | YAYASAN WARISAN UMMAH IKHLAS

Program Wakaf dan Lupus Al-Quran



 Pelihara kesucian Al-Quran



JARANG sekali kita didedahkan dengan kaedah dan cara yang betul semasa melakukan pelupusan al-Quran lama dan bahan bercetak yang mengandungi ayat suci al-Quran.

Mungkin kalangan umat Muslim memandang enteng dan mengambil mudah dalam menjaga kesucian al-Quran sehingga ada yang sanggup membuangnya ke  tempat yang tidak sepatutnya. Alangkah sedih dan hinanya al-Quran sebagai kitab suci apabila diperlakukan sedemikian rupa.

Tanyalah sesiapa sahaja, semua daripada mereka tahu  sesungguhnya al-Quran itu hak Muslim. Tetapi kenapa ada sesetengah orang Islam yang mengaku Islam tidak menjaga kesucian dan tidak meletakkan al-Quran di tempat sepatutnya.

 Sayu hati ini apabila melihat sebuah al-Quran usang dibiarkan dimakan anai-anai, sungguh luar biasa! Walaupun kulit al-Quran terkoyak rabak tetapi anai-anai tidak berjaya memamah isi kandungan ayat-ayat suci itu.


Tanggal 5 Mac lalu, penulis berpeluang ke tapak pelupusan al-Quran kelolaan Percetakan Saufi di No 55, Lorong Hj Hussein off Jalan Raja Muda, Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk melihat sendiri bagaimana cara betul melupuskan al-Quran.

Pemiliknya, Rahmat Mahdan atau lebih dikenali Pak Rahmat berkata pelupusan ayat suci al-Quran perlu dilakukan secara tertib dan beradab. Ia tidak boleh dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa kerana ia adalah ayat suci yang perlu dijaga rapi.

“Saya memandang al-Quran yang bersepah-sepah di tempat kitar semula. Saya nampak benda ini tiada jalan penyelesaian.

"Setiap kali datang ke tempat itu, saya ambil sehelai ayat suci yang bertaburan di tanah dan bertanya, bolehkah saya ambil ayat suci  ini. Saya bawa balik ke rumah dan kumpulkannya.
 
“Apabila saya tak tahu nak buat macam mana, saya ambil keputusan untuk berjumpa dengan pihak sepatutnya bagi mendapatkan sebuah tanah untuk dijadikan tapak pelupusan al-Quran.
 
"Malangnya impian saya ini tidak tertunai. Namun dengan bantuan pihak lain, akhirnya tanah yang sekangkang kera.

"Tanah inilah saya gunakan untuk menjamin kesucian al-Quran untuk dimaqamkan,” ceritanya mengenai tapak pelupusan al-Quran ini.


Kaedah penglupusan

Setiap  barangan yang dibawa ke sini, akan ditimbang dan kami juga mengenakan sedikit bayaran. Kenapa dikenakan bayaran?

"Memandangkan kami mempunyai pekerja, kami perlu meneliti kos upah untuk bekerja. Tanpa bayaran tidak adalah pekerja.

"Lagi pun bayaran yang dikenakan adalah berpatutan, iaitu al-Quran RM6 sekilo. Manakala untuk buku yang bercampur dengan tulisan al-Quran berjumlah RM10 sekilo.
 
"Itu adalah pembayaran untuk perkhidmatan yang dikenakan," ujar Pak Rahmat.

Beliau menambah, usai timbang, kegiatan ini juga mempunyai akad dengan menulis nama serta tanda tangan dalam buku catatan.

 Selepas itulah, al-Quran ini akan dibelai iaitu mengasingkannya kepada dua bahagian.

Satu bahagian dikhaskan untuk bahan yang bercampur dengan al-Quran (bahagian A), manakala satu bahagian lagi cetakan al-Quran (bahagian B).

Menurutnya, terdapat 15 kaedah yang digunakan untuk melupuskan al-Quran. Berdasarkan pengalaman Pak Rahmat yang pernah menjelajah ke beberapa tempat pelupusan al-Quran di Timur Tengah dan Arab Saudi, semua kaedah adalah sama.

Pak Rahmat menjalankan pusat pelupusan al-Quran sejak 2008. Dengan kos sebanyak RM3 juta, beliau dan keluarganya berjaya membina pusat pelupusan al-Quran di kawasan ini.

Pak Rahmat boleh dianggap sebagai perintis dalam bidang yang menjalankan fardu kifayah ini.


Dibuat kiub, hanyut ke laut

Kesemua al-Quran lama dan barangan yang mengandungi ayat suci al-Quran itu akan diasingkan terlebih dahulu sebelum dileraikan.

Bahan berkenaan ditutup dengan kain putih bagi menjaga kesuciannya, sebelum ia dibawa ke tempat pembakaran (mesin yang direka khas) untuk dibakar.

“Proses pembakaran biasanya dilakukan pada waktu malam. Jika dilakukan pada siang hari angin bertiup akan mengganggu proses pembakarannya.

“Proses pembakaran itu mengeluarkan abu yang sangat halus. Kebiasaannya, orang ramai membakar sendiri ayat suci al-Quran ini tetapi ada yang tidak hancur dan dibiarkan begitu sahaja.
 
"Abu yang halus umpama bedak ini berwarna kelabu dan dicampurkan sedikit air untuk dibuat kiub dan dijadikan tukun kemudian dihanyutkan ke laut.

"Akhirnya ia akan hancur sedikit demi sedikit dan inilah cara sepatutnya dilakukan,” katanya yang pernah membina telaga dan mengumpulkan al-Quran lama di dalamnya.

Menurut Pak Rahmat, abu itu kemudian dimampatkan menjadi kiub yang keras. Ini kerana bentuk kiub lebih memudahkan proses melupuskannya di laut.

Apabila dibuang, kiub yang mengandungi ayat suci al-Quran ini akan terus ke dasar dan hancur perlahan-lahan. Jika dibuang dalam bentuk abu, ia hanya akan mengotorkan permukaan laut.


Didik orang ramai

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI), Marhaini Yusoff berkata, pihak yayasan dengan kerjasama Percetakan Saufi menganjurkan program wakaf dan lupus al-Quran sejak pelancarannya pada 7 Februari lalu sempena karnival Karangkraf.

"Alhamdulillah, ia mendapat sambutan menggalakkan. Kami sudah mula mendidik orang ramai mengenai pelupusan al-Quran ini.

YWUI turut bekerjasama dengan pusat tahfiz, masjid, dan rumah anak yatim untuk menjayakan program pelupusan tersebut.
 
"Kami berikan al-Quran baru dan ambil al-Quran lama  untuk dikumpulkan di Kumpulan Media Karangkraf, sebelum dibawa ke tapak pelupusan sepatutnya.

"Sebelum ini kita melihat ramai pihak buat program bagi al-Quran baru.
 
"Tetapi, apabila mengadakan perjumpaan dengan pemilik tapak pelupusan al-Quran, Percetakan Saufi, Pak Rahmat, kami berpandangan, aktiviti tersebut sebagai satu tanggungjawab.
 
"Pengalaman kami semasa melakukan kerja amal untuk membantu mangsa banjir di Kuantan, Pahang, kami melihat banyak al-Quran lama dan basah yang perlu dilupuskan.

"Kami tidak hanya bagi al-Quran tetapi mahu mendidik masyarakat supaya tahu cara sepatutnya dilakukan untuk lupus al-Quran dan bukannya membakar sendiri,” katany
a.  

Orang ramai yang mahu membawa al-Quran untuk dilupuskan, sila bawa ke Kumpulan Media Karangkraf yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

Untuk maklumat lanjut program wakaf dan lupus di bawah YWUI, boleh hubungi talian 03-51013789/013-9552106.