Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tidak wujud istilah
berniat buruk seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak dalam
proses pelupusan al-Quran.
Menurutnya, pelupusan al-Quran menggunakan kaedah pembakaran bukanlah
perkara baru yang diamalkan di negara ini tetapi dilakukan sejak zaman
pemerintahan khalifah Saidina Uthman Ibnu Affan.
"Sejarah pembakaran al-Quran bermula sejak daripada zaman Saidina
Uthman, apabila Rasulullah meminta beliau mengumpulkan cebisan ayat-ayat
al-Quran yang ditulis oleh para sahabat pada sesuatu objek seperti
batu, kulit binatang dan kayu.
"Pengumpulan itu dibuat kerana didapati terdapat banyak kesalahan
ayat al-Quran dalam tulisan yang pelbagai versi itu. Oleh itu, kesemua
objek yang ada ada ayat al-Quran itu dikumpulkan dan dihapuskan dengan
kaedah pembakaran.
"Saidina Uthman kemudian menyatukan ayat al-Quran dan membukukan dalam satu mashaf yang dikenali resm Uthmani.
"Ini membuktikan bahawa pembakaran al-Quran untuk dilupuskan bukanlah
perkara baru dilaksanakan di negara ini atau mempunyai niat buruk untuk
memperkecilkan al-Quran," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan program pelupusan abu
al-Quran peringkat Negeri Pahang di Tambatan Pangkalan Kuantan, Pahang,
baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Pahang (JMNP) dan Bahagian
Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Cawangan Negeri Pahang itu bagi memberi kesedaran kepada masyarakat
mengenai kepentingan menjaga kesucian al-Quran.
Seramai 150 kakitangan yang terdiri daripada anggota Tentera Laut
DiRaja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),
Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan
Alam Sekitar (JAS) Pahang, Jabatan Laut Wilayah Timur, Majlis
Perbandaran Kuantan dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
(MUIP) menyertai program tersebut.
Hadir sama pada program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk
Seri Muhammad Safian Ismail dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama
Islam Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan
Kira-kira tiga tan abu al-Quran dilupuskan pada program itu pada
jarak kira-kira tujuh batu nautika dari Pangkalan Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM), Tajung Gelang menggunakan kapal Peronda Generasi Baru
milik TLDM, KD Pahang.
Program pelupusan abu al-Quran itu merupakan pelupusan pertama yang dilakukan di negeri itu.
Menurut Abdul Rahman, kriteria ayat al-Quran yang perlu dilupuskan
adalah naskhah atau cebisan ayat al-Quran yang mempunyai kesalahan,
sudah terlalu lama sehingga sukar untuk dibaca, dan potongan ayat
al-Quran yang diselewengkan.
Ia sebagaimana yang telah digubal dalam Akta Percetakan Teks al-Quran
1986 yang melindungi percetakan al-Quran daripada sebarang kesalahan,
kesilapan serta ketidakpatuhan terhadap prosedur pelupusan sisa atau
bahan yang mengandungi ayat al-Quran.
Pusat pelupusan
Dalam pada itu, Abdul Rahman menyarankan Majlis Agama Islam Negeri
(MAIN) perlu memikirkan usaha menubuhkan pusat pelupusan al-Quran
sendiri di peringkat negeri masing-masing. Ini memandangkan pusat pelupusan yang sedia ada dilihat tidak mampu
menampung keratan ayat al-Quran daripada seluruh negara yang ingin
dilupuskan.
"Buat masa ini, Syarikat Percetakan Saufi merupakan satu-satunya
syarikat yang mengusahakan proses pelupusan al-Quran yang mendapat
kelulusan daripada kerajaan.
"Ini dijangkakan tidak akan mampu menampung keseluruhan naskhah
al-Quran yang ingin dihapuskan jika dikumpul dan dihantar dari seluruh
negara hanya kepada Syarikat Percetakan Saufi.
"Oleh itu, MAIN perlu memikirkan keadaan ini dan mempunyai usaha
untuk menubuhkan pusat pelupusan al-Quran sendiri. Tidak dinafikan
proses pelupusan ini memerlukan belanja yang besar, namun sekiranya
bersesuaian kita perlu pertimbangkan untuk mewujudkan di setiap negeri,"
ujarnya.
Bagaimanapun beliau menasihatkan individu yang menjalankan perniagaan
pusat pelupusan al-Quran sendiri hendaklah memohon kebenaran dari MAIN
atau kerajaan agar diyakini dikendalikan mengikut kaedah yang sempurna.